Fakta Membaca

Pengertian & Kepentingan Membaca

Pembacaan adalah aktiviti yang amat penting dalam proses pembelajaran. Oleh kerana itu, bagi setiap mata pelajaran terutamanya di sekolah rendah dan menengah di negara kita telahpun ditetapkan sekurang-kurangnya sebuah buku teks oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai bahan bacaan dan rujukan utama.

Membaca ialah suatu proses komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca dengan penulis. Ianya adalah suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. – Kamus Dewan Edisi Baru, (1991).

Oleh itu, penekanan utama dalam proses pembacaan sebagai suatu proses komunikasi ialah kefahaman yang mantap. Dan, oleh kerana membaca adalah suatu proses komunikasi, pembaca mestilah menumpukan sepenuh perhatian – fikiran, pandangan, penglihatan, persepsi serta perasaannya – terhadap apa yang dibaca agar benar-benar dapat memahami serta menjiwai maksud yang tersurat serta yang tersirat pada apa yang dibaca.

Kurang kemahiran membaca bukan sahaja akan menyebabkan proses pembelajaran anda menjadi sukar, malah minat anda untuk membaca juga boleh terturun atau menurun. Namun, sekiranya anda mahir dan cekap membaca, proses pembelajaran anda bukan sahaja akan menjadi lebih lancar, malah, anda akan lebih pantas pula faham serta mengingati fakta-fakta penting dari bahan yang anda baca itu. Ini secara tidak langsung pula akan meningkatkan lagi minat anda untuk membaca dan membaca. Anda juga akan dapat menjimatkan masa anda serta membuat lebih banyak aktiviti pembelajaran.

TEKNIK MEMBACA BERKESAN

Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca PQRST ini.

(a) Preview (Tinjau)
  • Preview. TINJAU tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses meninjau ini adalah untuk anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang kandungan buku itu, fikiran anda akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang atau diutarakan pada buku tersebut.
(b) Question (Soal)
  • Question. SOAL diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialah Meningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi, bentuk soalan yang boleh anda buat ialah “Bagaimana saya dapat meningkatkan mutu pembacaan saya?” Dengan adanya soalan itu semasa anda membaca, tumpuan fikiran anda akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang tertumpu pada fikiran anda pada ketika anda membaca.
(c) Read (Baca)
  • Baca satu seksyen ke satu seksyen untuk mencari jawapan soalan yang anda telah bentuk itu. Sambil MEMBACA bahan bacaan anda, tumpukan perhatian untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang anda telah timbulkan itu. Ini merupakan suatu pembacaan yang aktif. Oleh itu, carilah tempat di mana anda boleh membaca dengan sepenuh tumpuan. Dengan berbuat demikian, anda akan dapat meningkatkan keberkesanan dan impak proses pemahaman serta pengingatan anda terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.
(d) Self-Recitation (Menyebut Kendiri)
  • MENYEBUT KENDIRI ialah suatu proses di mana anda mencuba ingat fakta-fakta utama bab atau bahan yang anda telah baca. Adalah lebih berkesan jika anda menyebutkan fakta-fakta kepada diri anda secara lisan. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang anda telah baca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara serentak.
(e) Test (Uji)
  • UJI diri anda setelah anda habis membaca keseluruhan bab. Fikirkan berapa banyakkah idea-idea daripada bab yang baru anda baca itu dapat anda ingati. Pada peringkat inilah anda harus mula menyimpan apa yang telah anda pelajari ke dalam ingatan jangka panjang anda.
  • Dengan menggunakan Teknik Membaca PQRST, masalah terlalu banyak untuk dibaca akan dapat anda atasi. Teknik Membaca PQRST ini memudah dan mempercepatkan proses pembacaan serta pengingatan anda.

Fokuskan Kepada Isu Yang Anda Baca
Semasa membaca, tumpukan sepenuh perhatian dan fikiran anda kepada TOPIK yang anda sedang baca.

Fahami Dahulu Baru Hafal

Tumpukan perhatian kepada MEMAHAMI dan mendapat idea-idea atau fakta-fakta utama bacaan anda. Jangan hiraukan tahap kelajuan membaca anda. Yang penting ialah anda faham apa yang anda sedang baca. Anda akan lebih mudah mengingati fakta-fakta atau isi-isi utama / bahan-bahan yang anda baca jika anda memahami apa yang anda baca. Menghafal tanpa memahami apa yang anda baca boleh menyebabkan anda cepat bosan belajar. Jika anda faham apa yang anda baca, minat anda akan meningkat untuk membaca seterusnya. Di samping itu, anda pula akan lebih mudah membuat nota daripada bacaan anda.

Perkataan yang Anda Tidak Mengerti

Sekiranya terdapat perkataan-perkataan yang anda tidak tahu ertinya semasa anda membaca, anda tidak harus serta-merta membuka kamus jika perkataan itu tidak begitu penting. Memberhentikan bacaan untuk mendapat pengertiannya akan mengganggu proses pembacaan anda. Anda hendaklah tandakan dengan pensil perkataan yang anda tidak fahami itu. Apabila selesai bacaan, barulah anda cari pengertiannya.

Perbendaharaan Kata (kosa kata)

Setiap perkataan baru yang terdapat dalam bahan bacaan, hendaklah anda kumpulkan ke dalam sebuah buku khas. Di samping perkataan itu, catatkan pengertiannya serta ayat yang sesuai bagi perkataan tersebut. Cuba gunakan perkataan-perkataan itu dalam karangan dan percakapan anda sehari-hari. Dengan cara ini anda akan dapat memperluaskan pengetahuan anda tentang perkataan-perkataan, baik dari segi pengertian mahupun kegunaannya. Dengan adanya perbendaharaan kata yang luas, bukan saja bacaan anda menjadi lancar, bahkan anda akan lebih mudah memahami semua yang terkandung dalam buku itu.

Gambar Rajah

Anda hendaklah memberi perhatian kepada gambar-gambar atau rajah-rajah di dalam buku. Biasanya, gambar atau rajah mengandungi maksud yang menerangkan sesuatu dengan lebih jelas. Ini membolehkan anda memahami huraian buku tersebut dengan lebih mudah. Ingat peribahasa Cina ini: “A picture is worth a thousand words”.

KUALITI PEMBACA YANG BAIK

Pembaca yang baik ialah yang:
  • Memahami hakikat keharusan atau kepentingan membaca.
  • Memastikan semua bacaan yang dibacanya, difahami dengan sepenuhnya.
  • Boleh mengulas kembali buku yang dibaca dengan terperinci dan mampu merealisasikan apa yang difahami  dalam kehidupan sehariannya.
Peringatan
  • Anda mestilah membaca buku berkaitan mata pelajaran yang anda akan pelajari sebelum diajar oleh guru di kelas.
  • Sewaktu membaca, garis atau catat isi-isi pentingnya.
  • Sediakan soalan-soalan jika perlu.