Tuesday 16 August 2011

MENCARI KEBERKATAN

Assalamualaikum.
Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam memperingati serta mengambil iktibar atas peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam agama Islam khususnya Hari Nuzul Al-Quran. Tahun ini kita menyambut Hari Nuzul Al-Quran yang jatuh pada 17 Ogos 2011. Memang sesuai sekali dengan peristiwa Nuzul Al-Quran yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Malam Nuzul Al-Quran

Bulan Ramadhan adalah bulan membawa rahmat, bulan Maghfirah ( keampunan ) bulan yang membawa berbagai-bagai hikmah dan rahsia di dalam bulan-bulan ini banyak peristiwa-peristiwa penting telah berlaku. Di antaranya peristiwa yang maha agung dalam sejarah umat Islam, umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu tidak lain peristiwa turunnya kitab suci atau dikatakan sebagai Nuzul Al-Quran. Dan peristiwa itu dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai memperingati kita semua sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud,
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan yang salah”
 Amalan Yang Sering Dilakukan Pada Hari Nuzul Al-Quran.
Selalunya bila tiba Hari Nuzul Al-Quran kita digalakkan beriktikaf di masjid, sembahyang berjemaah dan seterusnya bersembahyang Tarawih dan Witir, membanyakkan membaca Al-Quran dan bertadarus beramai-ramai, memperbanyakkan berdoa, beristighfar memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala, memperbanyakkan juga sembahyang-sembahyang sunat seperti Tahajjud, Tasbih, Taubat dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment